Cara hadapi musibah dari Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut | Saya menghubungi Penasihat Agama Negeri Johor ini untuk meminta pandangan nasihatnya. Berkenaan insiden sebuah keluarga yang ditimpa musibah ketika bulan Ramadan lalu.
Beliau dengan berbesar hati telah menyampaikan beberapa pesanan dan kiriman doa yang boleh diamalkan. Boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan atau kesukaran.
Surah al-Baqarah ayat 155 dan 156 yang membawa maksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
“Sabar itu boleh dikategorikan kepada tiga iaitu sabar dalam menunaikan kewajipan yang difadhilatkan oleh Allah. Yang mana ia akan memberi pahala sebanyak 300 darjah. Sabar yang kedua adalah menjauhi apa yang dimurkai oleh Allah yang mana ia memberi 600 darjah pahala. Manakala sabar yang paling tinggi nilainya adalah menerima ujian dan musibah dan tingkatan pahala yang paling tinggi sehingga 900 darjah.
12 Cara Hadapi Musibah Dengan Tenang
Hendaklah orang yang diuji itu :
- Perlu menyedari bahawa dunia ini adalah tempat ujian dari kesusahan bukan tempat untuk bersenang-senang.
- Meyakini bahawa setiap musibah dan ujian yang datang itu adalah ketentuan dari Allah s.w.t.
- Melihat kepada musibah dan ujian yang lebih besar dan lebih dahsyat yang pernah menimpa orang lain daripada dirinya.
- Membandingkan antara musibah/ujian yang menimpa dirinya dengan ujian yang dialami orang lain. Dan dengan demikian, hati mereka akan terhibur.
- Hendaklah mereka mengharapkan gantian dari Allah. Gantian yang berbagai-bagai misalnya kesihatan, perniagaan yang melonjak dan kehidupan yang tenang.
- Mengharapkan pahala dengan sentiasa bersikap sabar kerana yang demikian itulah yang terbaik dalam dirinya.
- Memahami akan kehendak Allah. Barangkali yang demikian itu adalah yang paling baik untuk diri mereka.
- Mengetahui bahawa beratnya kesukaran ujian yang menimpa diri seseorang itu kerana orang tersebut adalah hamba pilihan istimewa dari Allah.
- Menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba yang tiada daya dan upaya ketika berhadapan dengan kekuasaan Allah.
- Hendaklah orang yang ditimpa musibah itu menyedari bahawa musibah yang ditimpakan kepada dirinya itu adalah atas kerelaan dan kehendak Allah. Justeru itu hendaklah redha menerimanya.
- Mencela dirinya jika perasaan menyesal dan menyalahkan Allah di hatinya. Sebab musibah itu adalah merupakan keputusan dari Allah, ketentuan qada dan qadar dari Allah. Justeru, keadaan menyesal salahkan Allah wajib dihilangkan.
- Memahami bahawa musibah yang menimpa sifatnya sementara
Baca : Ustaz Kazim kongsi doa memudahkan sakaratul maut
Doa Hadapi Musibah Yang Boleh Diamalkan
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan dan milik Allah dan kepadaNya kami kembali. Ya Allah kepadaMulah aku mengharapkan pahala dari musibah ini. Maka berilah aku balasan pahala darinya dan berilah aku pengganti yang terbaik darinya.”
Doa Ketika Berlaku Kematian Seseorang
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan dan milik Allah. Sesungguhnya kami akan kembali kepadaNya. Ya Allah tetapkanlah ia (si mati sebut namanya) di sisiMu dari golongan orang-orang yang baik. Berikanlah kitab/suratan amalnya pada tempat yang tinggi. Berilah pengganti kepada keluarga yang ditinggalkannya. Janganlah Engkau menolak pahalanya dan janganlah Engkau memfitnah kami sepeninggalannya.”
Doa Ketika Ditimpa Kebingungan Dan Kemurungan
“Ya Allah, aku adalah hambaMu yang berada dalam genggamanMu, ubun-ubunku berada dalam tanganMu (kekuasaanMu), berlaku dalam hukumMu dan keadilanMu berada di dalam ketetapanMu. Aku bermohon kepadaMu melalui seluruh nama yang baik untukMu, nama yang Engkau gunakan untuk menamai diriMu, nama yang Engkau turunkan dalam kitabMu, nama yang Engkau ajarkan kepada seseorang di antara makhlukMu, nama yang Engkau pilih untuk disimpan disisiMu pada alam ghaib. Kiranya Engkau menjadi al-Quran yang mulia sebagai cahaya kalbuku menyegarkan hatiku, mengikis kesedihanku dan melenyapkan kebingunganku dan kemurunganku serta keresahanku.
Aku berlindung kepada kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kemurkaanNya, seksaanNya, kejahatan hamba-hambaNya dan dari bermacam ragam gangguan syaitan serta kedatangannya.”
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 8 Oktober 2010
Follow fanpage saya : Netty Ah Hiyer Tulis