Bau anak syurga itu | Sebetulnya saya diburu waktu. Hingga teralpa memberi perhatian pada anak. Entah mengapa dalam tempoh yang singkat ini begitu banyak perkara mahu saya lakukan.
Minda bawah sedar saya seolah-olah memaksa diri saya untuk bertindak di luar batasan. Terus bergerak dan jangan sekali-kali menoleh kebelakang.
Namun, tanpa sedar tindakan saya itu rupa-rupanya sudah mengabaikan ‘amanah’ Allah yang perlu saya pelihara dengan sebaik-baiknya.
Dari sehari ke sehari, ada saja yang membuatkan anak-anak kecil ini merajuk dengan ibunya yang sibuk entah apa-apa ini.
Merajuk tidak mahu kawanlah. Mengungkit dengan kata-kata ‘ibu gemuklah’. Dan yang paling tragis bila Zarif tidak lagi mahu mendekati saya.
Setiap kali saya pulang dari tempat kerja, dia menjauh.
Ironinya saya biarkan saja emosi luka mereka. Konon buat-buat tak faham, dengan harapan mereka akan pulih kemudian hari.
Saya tahu itu satu tindakan yang paling silap yang telah saya lakukan. Mereka ini menyimpan marah yang panjang.
Tapi mereka juga perlu meluahkan marah. Biarkan ia terluah semoga ia tidak menjadi nanah.
Cuma kalau melampau sangat memang ‘hanger’ menyinggah ke mana-mana. Oh! saya juga manusia biasa.
Baca Sini : Rutin kental mak, rupanya melatih anak sifat kepimpinan
Anak Diuji Sakit
Ahad lepas waktu bawa Zarif dan Qaseh meronda-ronda Setia City Mall saya terperasan sesuatu. Zarif berjalan tak seperti selalu.
Sekejap-sekejap kakinya diherotkan ke tepi. Itu belum aksi muka yang memelikkan. Waktu melepaskannya ke sekolah pada hari Isnin. Dia lakukan aksi yang sama.
Sudah kenapa dengan Zarif? Saya adukan hal itu pada mak.
Mak pesan balik nanti bawa dia pergi berurut. “Dia sakit belakang dah lama, dah lama mak suruh bawa pergi berurut. Tak bawa-bawa juga. Balik nanti pergi rumah wak.”
Saya angguk setuju. Dan hari itu saya menghitung waktu mahu membawa dia sesegera mungkin. Syukur sampai di rumah wak tak ramai orang yang mahu berurut.
Selepas seorang pesakit, Zarif masuk ke bilik urut dan wak urut Zarif satu persatu. Mula dari kaki sampailah ke dahi.
Rupanya Zarif bukan sakit biasa. Syukurlah cepat saya membawanya. Alhamdulillah, hari ini aksi herot-herot yang dia selalu buat tak lagi kelihatan.
Degilnya pun makin berkurang. Rupanya selama beberapa hari itu yang dia asyik merentan-rentan, dia itu dalam kesakitan. Saya saja yang buat-buat tak faham.
Dan malam ini sebelum menidurkan anak-anak saya cium Qaseh berkali-kali. Sungguh enak baunya. Budak kecil yang tiada dosa ini memang berbau harum mewangi.
Ya, ibunyalah yang mencorakkannya. Kasihan anak-anak saya. Dapat ibu yang sibuk luar biasa dan entah apa-apa ini. Syukur alhamdulillah, saya ada emak dan adik-adik yang baik hati dan sentiasa ada di sisi saya.
Semoga emak dan adik-adik saya serta suami saya dimurahkan rezeki olehNya. Amin Ya Allah.
Disclaimer : Catatan ini bertarikh 30 September 2014
- Like : Fanpage Netty Ah Hiyer Tulis
- Follow : Instagram Netty Ah Hiyer
Ya Allah, semoga segalanya dipermudahkan. Betapa kita kadang-kadang terlepas pandang.